Thursday, March 31, 2011

Jepun,Tsunami dan Pembangunan

Assalammuailaikum semua,
Pada bulan ini Malaysia akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pemotoran diperingkat antarabangsa dan juga tempatan,antaranya adalah seperti Perlumbaan Formula 1.Untuk peringkat tempatan pula,tidak kurang menariknya dimana perlumbaan Malaysia cub prix yang telah pun membuka tirai pertamanya di Stadium Utama Kangar dan seterusnya pusingan kedua yang akan berlangsung pada 16/17April nanti di Stadium Batu Kawan,Pulau Pinang.

Kali ini saya ingin mengajak pembaca semua keluar sekejap dari dunia pemotoran kita dan bertafakur sejenak tentang mangsa-mangsa kejadian gempa bumi dan juga tsunami yang melanda negara pengeluar kereta terulung didunia pada 11Mac 2011.

Dunia telah dikejutkan dengan gempa bumi tersebut berukuran 8.9 skala Ritcher yang paling kuat pernah dicatatkan melanda Jepun dalam tempoh 140 tahun,pada masa yang sama juga telah mengakibatkan ombak tsunami setinggi 10 meter tercetus dan melanda timur Jepun.Kejadian tsunami yang melanda tidak lama selepas gempa bumi itu berlaku telah menghanyutkan banyak rumah, kereta dan tanaman di bandar tersebut.


Apa yang lebih menariknya untuk saya untuk menulis tentang bencana gempa bumi dan kejadian tsunami ini adalah sikap rakyat Jepun yang cukup berdisplin,bersedia dan sentiasa mematuhi setiap arahan yang diberikan.Seperti yang kita dapat lihat dikaca televisyen gambar yang dirakam ketika kejadian gempa bumi ini melanda,kita boleh melihat bagaimana kanak-kanak telah diajar untuk duduk dibawah meja sekiranya kediaman mereka dilanda bencana gempa bumi untuk mengelakan kepala terkena sebarang objek yang terjatuh dan menimpa kepala mereka.Penduduknya juga sentiasa diajar dan dilatih khusus untuk menghadapi saat-saat kecemasan seperti itu.


Apa yang buat saya kagum lagi adalah,didalam kekalutan orang ramai menyelamat diri dari bencana ini,banyak kedai-kedai ditinggalkan pemiliknya tanpa sempat mengunci pintu dan sebagainya,dalam tempoh premis mereka terbuka tiada langsung kejadian kecurian berlaku. Rakyat Jepun cukup matang dan berdisplin dalam hal tersebut.

Pada kejadian yang berlaku ini juga kita boleh melihat bagaimana Jepun menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi dimana telah awal lagi memberi amaran pada penduduknya tentang ancaman tsunami yang akan berlaku selepas kejadian gempa bumi itu.Jika diikutkan penduduk Jepun di wilayah yang terkena amukan bencana tsunami itu melebihi 100,000 orang,tetapi dengan adanya amaran tersebut banyak nyawa yang boleh diselamatkan.



Persediaan Jepun seperti inilah yang telah menyelamatkan rakyatnya dari terkorban dalam bencana tersebut.Selain itu juga Jepun banyak belajar dari pengalaman dari kejadian yang lalu dengan mempertingkatkan sistem-sistem yang lebih canggih antaranya membina bangunan yang dapat menahan gegaran seperti gempa bumi. Kita boleh melihat dimana Jepun telah membangun dengan pesat selepas kejadian gempa bumi yang melanda bandar Kobe pada 17 Januari 1995 dan meragut 6,400 nyawa.

Kejadian itu juga telah mengajar Jepun untuk untuk mewujudkan sistem amaran bencana yang berkesan dan sistem itu jugalah yang menyelamatkan banyak nyawa di wilayah utara Jepun semasa kejadian tsunami pada 11 Mac 2011.

Jika diimbaskan kembali pada tahun 1995 yang melanda Kobe kita boleh melihat dimana Jepun telah berjaya membangunkan semula daerah tersebut dalam masa lima tahun sahaja.Satu perkara lagi yang buat saya terpegun dengan kejayaan mereka. Dibawah ini adalah salah satu petunjuk yang Jepun akan bangkit semula dengan cepat selepas bencana gempa bumi dan tsunami melanda mereka."Jalan yang telah merekah,dipulihkan dalam tempoh enam hari sahaja.Gambar dipetik di laman web zerotohundred.com

Saya percaya Jepun dapat bangkit dan membangun dengan cepat selepas kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda negara mereka.Pada pengalaman mereka yang lepas cukup sudah membuktikan yang mereka mampu mengembalikan dan memulih segala yang telah musnah dengan cepat dan pantas.

Kesimpulannya,apa yang saya dapat mempelajari dari pengalaman Jepun ini adalah bagaimana kita hendak bangkit semula selepas sesuatu kejadian ataupun musibah yang berlaku pada kita.Sifat sabar,bertenang dan sentiasa berdisplin yang ditunjukan oleh masyarakat Jepun dalam menempuh musibah yang menimpa mereka semua boleh dijadikan contoh pada kita semua.Cara mereka bangkit dan membina semula kawasan terjejas dalam tempoh masa yang singkat juga mampu memotivasi kita bagaimana hendak bangkit dengan pantas tanpa duduk berdiam diri tanpa memikirkan sesuatu perkara,dengan tindakan respons yang pantas seperti ini mampu dapat mengubah sesuatu yang lebih bagus dari yang ada pada kita sekarang.Akhir kata,marilah kita semua menjadikan negara matahari terbit ini contoh untuk memotivasikan diri kita dan juga mempelajari sesuatu daripada kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment